LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson semakin hampir untuk melengkapkan misi terakhirnya bersama kelab itu selepas membawa Red Devils melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara kelmarin.
Kejayaan mara ke pentas final untuk kali kedua berturut-turut itu hadir selepas United menewaskan Arsenal 3-1 pada aksi separuh akhir kedua di Emirates, sekali gus menang dengan agregat 4-1.
Bagi Ferguson, sepanjang 23 tahun menjadi pengurus di Old Traffrod, dia telah menghadiahkan dua daripada tiga kejayaan Eropah buat kelab itu.
Namun, meraih satu lagi kejuaraan di pentas Eropah pastinya memberi kepuasan kepada Ferguson sebelum bersara.
"Saya rasa kami mempunyai kemampuan untuk muncul juara musim ini," kata Ferguson.
"Tiada yang kurang pada pasukan ini dan kami benar-benar sedia untuk melakar satu lagi sejarah dalam bola sepak Eropah."
Pada aksi kelmarin, United memperoleh gol pertama menerusi Park Ji-Sung sebelum Cristiano Ronaldo meledak dua lagi gol buat pasukan pelawat.
Dengan kemenangan itu, Ferguson mula merencana strategi untuk membantu United muncul juara di Rom 27 Mei depan, sekali gus kejuaraan Eropah ketiganya bersama kelab itu.
Real Madrid muncul juara terbanyak dengan sembilan kali diikuti AC Milan (7), Liverpool (5) dan Bayern Munich (4).
Ferguson pula terpaksa menunggu selama 13 tahun di Old Trafford untuk membawa pasukan itu muncul juara Eropah pada tahun 1999, selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 1968.
"Tiada tempat yang selamat sebenarnya. Jika kamu gagal menang piala, kamu dianggap tidak berguna dan jika kamu berjaya menang piala, kamu dianggap hebat," jelas Ferguson. - AP
No comments:
Post a Comment